Friday, July 31, 2009

Alasan dan alasan

Bila kita mahukan sesuatu, kadang-kadang kita tak perlukan sebarang alasan pun

"Saya mahukannya, tapi saya tak tahu kenapa, yang saya tahu saya mahukannya, sangat-sangat"
" I want it because I want it!"



Tapi bila kita tak mahukan sesuatu, barulah kita sibuk mencipta seribu satu juta alasan

" Saya tak nak sebab blablablablabla"
" Saya tak boleh sebab blablablabla"

"Saya tak mampu sebab blablablabla"


...blablablabla...alasan..alasan..dan alasan. Kita tak pernah berhenti dari memberikan alasan kan. Walau kadang-kadang alasan tu tak diperlukan (sebab orang dah tahu kebenarannya) tapi kita tetap nak jugak bagi alasan. Mungkin sebab kita nak tutup kelemahan diri kita. Atau kita tak nak menampakkan bahawa diri kita yang bersalah, maka kita tujukan kesalahan itu pada keadaan. Ya, keadaan yang menyebabkan kita terpaksa bertindak sedemikian. Ah..alasan lagi..Betullah kata pepatah Melayu " Nak seribu daya, tak nak seribu dalih" . Kalau betul-betul mahukan sesuatu, berhenti beralasan. Bertindak!! Itu yang paling tepat. Tapi kalau tak nak, cakap aje tak nak. Tak usah pusing kanan, pusing kiri, peningkan kepala mencipta alasan.



p/s : alasan saya sekarang adalah..SAYA BUSY..sila terima dengan hati yang rela hakhakhak..

Thursday, July 30, 2009

Hidup ibarat roda


Hidup ni macam roda. Kadang-kadang kita di atas. Kadang-kadang kita di bawah. Berputar-putar, silih berganti. Kadang-kadang kita bergolek di padang rumput yang luas. Kadang-kadang kita bergolek di padang pasir yang tandus. Kadang-kadang kita bersalut lumpur, dan kalau nasib kurang baik, mungkin kita terpijak tahi. Kadang-kadang perjalanan kita lancar, kadang-kadang tersekat-sekat dek batu-batu kerikil di jalanan. Mungkin pernah jugak kita tertusuk paku karat atau serpihan kaca, lalu kita pancit. Tapi bila ditampal dan dibaiki kita masih boleh teruskan perjalanan. Kadang-kadang mungkin sebab cuai atau terlalu leka, kita terlanggar tiang, atau jatuh terperosok ke dalam longkang. Tapi walau apa pun yang kita tempuhi, kita tak boleh berhenti untuk bergerak. Selagi roda masih bulat, selagi itu ia masih boleh bergolek. Dan selagi kita masih bernafas, selagi itu hidup harus diteruskan. Tak kira apa halangan yang mendatang...jangan pernah berhenti sebelum sampai waktunya....

Wednesday, July 29, 2009

Rahsia hati


Syyhhh....
Nak tahu satu rahsia tak?
Sebenarnya saya ada 'DUA' keping hati
Jadi kalau satu hari nanti saya jatuh cinta dengan seseorang
Saya akan bagi dia satu keping hati saya untuk disimpan
Dan kalau-kalau dia pecahkan hati saya itu
Saya masih ada satu lagi hati kan?
Taklah frust menonggeng nanti hahaha...




p/s : cintailah manusia seadanya... (^-^)

Mengenang yang sudah pergi

Tak kisahlah siapa dia yang dulu
'hal itu' serahkan saja pada Tuhan
apa yang penting bagi kita adalah ambik pengajaran
dan apa yang dia dah berikan
itu yang patut kita kenang
yang pergi biarkan pergi dengan tenang..






p/s : jangan tambahkan lagi dosa diri sendiri

Mocca- I Remember



Sekarang ni saya tengah syok melayan lagu ni..I Remember dari Mocca. Band ni asal dari Indonesia. Lagu-lagu diorang banyak jugak la yang best-best. Antaranya lagu ni. Sesuai dengan selera saya hahaha...

Tabiat saya adalah bila saya suka sesuatu lagu tu, saya akan ulang dengar beribu-ribu kali lagu yang sama sampai lah nak termuntah. Pastu bila dah boring saya akan carik lagu lain pulak haha...jadi marilah kita sama-sama melayan lagu ini...(sambil mengenang memori silam hakhakhak :P)

Tuesday, July 28, 2009

Bukan mudah nak menang

Hari tu saya ada tengok satu game show kat tv. Peserta dia berpasangan. Dan adalah seorang peserta ni, asyik membebel je kat pasangan dia tu. Pantang pasangan dia silap sikit, habislah kena maki hehee...yang dia ni pulak bukannya membantu, membantut lagi adalah. Asyik nak mengomel je..Last-last, pasangan ni kalah dalam pertandingan tu..Haihh..kadang-kadang nak menang bukan hanya perlu kuat dan pintar, yang penting kena ada "right attitude"..betul tak? heheee...





p/s: apa yang penting? kerjasama!!!! oh..wonderpet :P

Friday, July 24, 2009

Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya

Hari ni saya berjaya melakukan sesuatu benda. Benda yang untuk orang lain mungkin ia perkara kecil, tapi bagi saya satu kejayaan yang cukup besar hehehe...malas la nak cakap apakebendanya, nanti kena gelak je muahaha (ciri2 orang merendah diri wakakaa :P)

Sebenarnya tak kisahlah kejayaan kecil ke besar ke, yang penting kita sudah maju setapak ke hadapan. Tak lah kata orang asyik ditakuk lama je. Tak de kemajuan. Statik, macam kereta tak ada minyak, tak boleh bergerak hehe...

Apa yang lagi penting sebenarnya ialah keinginan kita untuk berjaya. Dan untuk berjaya kita kenalah usaha. Mesti ada kemahuan untuk belajar, willing to learn. Tak kisahlah walaupun kita bermula dari zero sekalipun. Takde orang yang lahir-lahir terus boleh berjalan kan. Bak kata opah, nak pandai, nak berjaya kenalah belajar..hehe..betul tak opah?

Dan dalam belajar, tak bolehlah tergopoh-gapah. Mana ada orang belum pandai sebut abc terus hafal karya Plato kan (kecuali lah yang dah terlebih genius huhu..). Kenalah pelan-pelan kayuh. Step by step. Sebelum buat yang hebat-hebat kita mulakan dengan yang simple-simple dulu. Kalau dah 'terer' nanti barulah pergi ke tahap yang lebih advance kan? hehehe..ayat macam nak pujuk diri sendiri je..ah sudahlah..hahahaa :p :p



p/s : kepuasan peribadi, itu yang penting..hehe

Thursday, July 23, 2009

Dua kali lima

Tit tit..ada sms baru masuk

bukak sms. baca.

oh..kawan lama. zaman sekolah. dah lama tak berhubung.

mesej nak mintak tolong, bukan nak bertanya khabar.

hmm..nak balas ke tak. balas ke tak. balas ke tak..

fikiran merewang mengenang memori lama.

sepuluh minit

dua puluh minit

jejari pantas menekan aksara

SEND

mesej dihantar.

----------------------------------

Dia pun sama sebenarnya. Dua kali lima. Liat benar nak bertanya khabar kawan-kawan lama. Masing-masing kononnya sibuk dengan kehidupan sendiri. Bila ada hal mustahak barulah tercari-cari. Tak perlulah nak memulangkan paku serpih. Nak mengata orang tapi dia sebenarnya yang lebih. Anggap saja ini peluang untuk kembali menjalinkan silaturahim. Tak kiralah apapun alasannya. Ia tak diperlukan. Kita cuma perlukan 'tindakan' huhuhu....




p/s: busy..busy..busy..ah alasan... :p

Mahu Terbang


Saya suka betul duduk tepi tingkap
Lebih-lebih lagi bila angin bertiup sepoi-sepoi bahasa
menampar-nampar lembut ke pipi
huu...seronoknya..
lepas tu tengok pulak langit yang membiru
terasa macam nak terbang
oh ..kalau saya ada kepak,
saya nak kepak macam burung..bukan macam rama-rama hehe....

Tuesday, July 21, 2009

Kisah si pungguk : Merindukan bulan


Saya adalah si pungguk yang rindukan bulan, setia menunggunya sepanjang malam. Bila bulan bersinar terang, saya yang paling girang. Tak berkelip mata saya memandang..Bulan cantik kan? Lebih-lebih lagi bila ia mengambang penuh...mengasyikkan.

Melihat bulan, bagi saya sama seperti melihat sang bidadari dari kayangan, indah dan menawan. Saya tak pernah jemu menunggu sang rembulan. Tak akan jemu. Walau seribu tahun. Malah bila sesekali bulan tidak muncul, dilitupi awan gelap, saya pasti akan menangis hiba.

Rindu saya pada sang bulan, takkan terungkap dengan kata-kata. Cukup hanya saya yang mengerti rasa ini. Walaupun bulan nun jauh di atas sana, saya tetap akan setia. Walaupun ia tak akan pernah menyedari kehadiran saya, pun saya tetap akan setia. Malah, walau rindu ini takkan pernah berbalas sekalipun, saya masih dan tetap akan setia. Saya tak pernah sekali-kali mengharapkan bulan menjadi milik saya. Saya hanya mahu terus diberikan kesempatan untuk merinduinya. Kerana dengan merinduinya, saya menemui erti bahagia itu...









p/s : carilah sumber kebahagian kamu, walau se'merepek' manapun ia dipandangan mata orang lain..selagi tidak menyalahi hukum, just do it....as long as you are happy.. (^_^)

Menikmati hidup dengan gaya tersendiri

Sedang menikmati aiskrim berperisa vanilla dan coklat
sambil berfoya-foya di ruang maya
tiada kuliah
tiada assignment
tiada jalan kaki mahu balik ke rumah sewa
tiada stress
nanti pukul satu mak panggil
"Mari makan nasik!"
Pergh..hidup memang indah kan..






Oh..cuba teka, ini mimpi ke realiti?

hahahaha..

Monday, July 20, 2009

BLUR

Bila dah dapat internet tetiba blur pulak nak tulis apa ekekeke...

Friday, July 17, 2009

Internet oh internet

Sekarang saya berblogging pakai kawan saya punya broadband. Maklumlah nak beli sendiri tak mampu sobsobsob...Kawan saya ni baik. Dia bagi mandat untuk guna bila dia takde hehe..Tapi kawan yang baik bukan bermakna saya boleh ambik kesempatan kan? Dalam hidup ni jangan selalu menerima tapi jarang memberi. Kawan yang paling baik sekalipun boleh lari jauh-jauh. Berpada-padalah orang kata..


Apapun, tetap rindu streamix kat rumah...broadband tak selaju streamix huhu...




(ini semalam punya, schedule post je nih..dah basi hehe)

Thursday, July 16, 2009

Cita- cita setinggi langit

Tadi saya pergi library. Adalah seorang pak guard ni tanya saya ambik course apa. Saya jawab jelah kan. Pastu dia cakap "oh tinggi cita-cita" huhu..Tak salahkan bercita-cita tinggi. Kalau tak ada cita-cita baru jadi masalah rasanya hehe..

Tak kiralah cita-cita tu tinggi ke rendah ke, besar ke kecik ke, semua orang berhak untuk punya cita-cita, punya impian. Walaupun nampak mustahil dimata orang lain, pedulikan...yang penting kita berani untuk mencipta mimpi kita.

Tapi cita-cita saja tanpa usaha, pun takde makna jugak kan..yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Apa yang penting? USAHA!!! huhu Usaha, doa, tawakal...tu kunci dalam mencapai cita-cita.

Dan lagi satu kena berani..kena ada tekad dan semangat yang kuat. Bak kata Erra Fazira, tanpa keberanian, mimpi tak bermakna.. Jangan takut untuk melangkah..jangan takut untuk jatuh. Kalaupun gagal sekali, boleh cuba lagi buat sejuta kalinya betul tak? Sekurang-kurangnya kita mencuba untuk mereliasikan impian kita. Nothing to regret. Walaupun kita tak berjaya jugak mencapai cita-cita kita (mungkin dah tersurat bukan tertakdir untuk kita) sekurang-kurangnya kita dah mencuba. Itu seribu kali lebih baik dari tidak berbuat apa-apa..kan?

Apapun teruskanlah bercita-cita, teruskanlah menggapai mimpi..sapa tahu kalau satu hari nanti ia akan menjadi kenyataan. Berusahalah !!!!

Monday, July 13, 2009

Pok Pek Pok Pek.. Bla Bla Bla Bla..

Orang kata orang perempuan suka bercakap betul ke? Sebab tu orang perempuan sinonim dengan membebel. Tapi saya tak setuju. Ramai je orang perempuan yang pendiam. Contohnya macam saya ni lah hahaa...

Tapi saya setuju kalau orang kata orang perempuan suka meluahkan. Tak kiralah dalam apa bentuk dan cara sekalipun. Bercakap, membebel, menyanyi, berpuisi, malah menulis sama ada dalam blog atau diari. Tak kiralah apa cara sekalipun, asalkan apa yang ada dihati tu dapat diluahkan keluar. Satu terapi yang baik kan.

Yalah, hati kita ni macam belon jugak. Kalau isi banyak sangat angin melebihi limit, nanti dia meletup..kebabooommm!!! Haha..sebab tu kadang-kadang kita kena luahkan keluar. Lebih-lebih lagi orang perempuan yang terkenal lebih emosional dari orang lelaki (err..ada yang tak setuju ke? hehe)..Masalah yang ada tu, jangan hanya disimpan dalam hati..kena berkongsi, walaupun cuma berkongsi dengan diari hehe..

Kakak saya cakap, orang perempuan ni, bila dia berkongsi sesuatu dengan orang, bukan hanya kerana dia nak mintak pendapat atau penyelesaian. Kadang-kadang dia cuma mahu seseorang untuk mendengar. Itu sudah lebih dari cukup untuk membuatkan dia rasa lega. Betul ke? Saya rasa kebanyakan orang pun macam tu kan. Walau masalah masih tak selesai, tapi sekurang-kurangnya beban perasaan tu dapat dikurangkan. Taklah rasa terseksa sangat kan..

Apapun, bercakap biarlah ada hadnya. Jangan terlebih bercakap pulak. Kalau benda yang tak perlu, simpan je untuk diri sendiri. Hal-hal yang terlalu peribadi kadang-kadang tak perlu dikongsi. Lepas tu jangan pulak suka buat cerita. Mengumpat, memfitnah..elakkan lah. Orang kata kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa..ishk ishk ishk kesian badan tak pasal-pasal jadik mangsa..hehehee





p/s : saya lebih suka jadi pendengar, save air liur hahaha :p

Kasut yang serupa, rasa yang berbeza



Pernah dengar tak kata-kata ni " Cuba letakkan diri kita dalam kasut orang lain. Kalau ia menyakitkan kita, fikirkanlah ia mungkin menyakitkan orang tersebut". Betul tapi tak selalunya benar kan..hehe...misalnya saya ada seorang kawan, anak orang kaya, dari kecik sampai ke besar dia tak pernah pakai kasut murah-murah. Semuanya berjenama mahal, diimport dari luar negara. Tapi suatu hari dia terpaksa pinjam kasut saya (yang buatan Gombak itu :p). Kasut murah tapi sangat selesa pada saya. Apa akan jadi bila dia pakai kasut ni? Mungkin dia akan rasa sakit dan tak selesa. Sebab apa? Sebab dia tak biasa.

Sebab tu saya kata kata-kata tu tak selalunya benar. Sama macam dalam hidup ni jugak, perkara yang remeh bagi kita, mungkin masalah besar bagi orang lain. Semuanya bergantung pada cara kita memandang sesuatu benda, cara kita berfikir, pengalaman kita dan jugak kekuatan dalaman yang kita ada. Dua manusia yang terlibat dalam masalah yang sama, serupa, sebijik sejibung, tidak bermakna mereka merasai 'keperitan' yang sama kan?

Sebab itu saya rasa sukar sebenarnya untuk menelaah perasaan orang. Bila seseorang kehilangan insan yang tersayang, kita mungkin menyangka dia bersedih (sebab itu apa yang kita rasa di dalam situasi yang serupa). Tetapi sebaliknya dia mungkin rasa lega, sebab orang yang dia sayang itu sudah terlepas dari kesakitan semasa hayatnya. Contohnya lah...huhu..

Tapi walau sesukar manapun untuk kita menilai perasaan orang, itu tidak bermakna kita boleh ambil mudah pada apa yang mereka rasa. Jadilah seseorang yang prihatin pada perasaan orang lain. Tapi jangan pulak terlalu mudah buat telahan.Selalu ingat bahawa kita adalah manusia yang serupa tapi tak sama. Apa yang kita rasa, tak semestinya sama dengan apa yang orang lain rasa. Apapun, sentiasalah berusaha untuk memahami ( ^_^)




p/s : kalau nak rasa macam mana sakitnya kasut tu, tak perlu cuba pakai, ketuk je kat kepala hahaha :p

Friday, July 10, 2009

Sehitam kulit manggis

Tadi kakak kawan saya datang. Bawak buah manggis segar dari ladang hehe..apalagi melantak la kitorang. Seingat saya dah lama jugak saya tak makan manggis. Sambil makan kitorang borak-borak la pasal buah manggis tu. Dan terkeluarlah peribahasa baru..don't judge the manggis by its kulit haha...sukahati je kan.

Ya lah,kulit manggis kan hitam, tapi isi dia putih melepak, manis pulak tu. Sangat kontra kan. Kesimpulannya tak boleh lah nak menilai sesuatu tu dari kulit dia. Apa yang diluar kadang-kadang tak sama dengan apa yang ada didalam. Pensyarah saya selalu berpesan 'don' be judgemental. Katanya 'outer appearance may be deceiving, our covers may be different but our values are the same’.

Tapi hakikatnya memang susah mahu jadi manusia yang sentiasa berbaik sangka. Melihat perempuan seksi sedikit, kita sudah buat kesimpulan bahawa dia itu ‘perempuan dotdotdot..’. Sangat tidak adil bukan . Tapi susah mahu membuang stigma yang ada dalam kepala kita. Tapi susah tak semestinya mustahil. Yang penting kita sendiri mesti bersihkan hati kita. Kalau luaran sahaja baik tapi dalam hati penuh kekotoran pun tak guna jugak kan?

Lagi satu, dua manusia yang berpenampilan serupa tak semestinya mempunyai hati yang sama. Macam buah manggis jugak, kulit sama hitam, tapi yang satu itu mungkin rasanya manis, tapi yang satu lagi mungkin isinya masam. Jadi kita tak bolehlah buat kesimpulan melihat dari luaran saja. Telek dan teliti jugak apa yang ada dihati. Manusia yang kita nampak agak 'tidak senonoh' penampilan luarannya bukan semuanya adalah jahat. Mungkin hati dia baik tapi for some reason, dia belum dapat hidayah lagi untuk berubah..sapa tahukan kan? Kita bukan Tuhan untuk menghukum sesama manusia. Lagipun orang kata tak kenal maka tak cinta. Kalau tak dibuka kulitnya, diambil dan dirasa isinya, manakan kita tahu manis atau tidak isinya, betul tak? huhuu...





p/s : soalnya hati sukar dimengerti :p

Monday, July 6, 2009

Rindu

Huhu..posting melalui email la pulak ..testing..testing..hehe...Kita bersiaran secara langung dari computer lab. Tapi blogspot kena block huhu..takbleh la nak menjenguk blog..rindunyaaa hehe..

Sebenarnya takde apa nak cerita pun (ada sebenarnya tapi mana ada feel nak blogging guna email nih hahaa). Jari je gatal-gatal nak menulis kan. Dah lama tak exercise kan haha..

Nak cerita apa yek? Kehidupan saya kat sini Alhamdulillah, baik-baik saja (dah macam tulis surat la pulak muahaha). Lebih baik dari apa yang saya jangkakan sebenarnya hehe...Oh..pagi tadi sempat berborak dengan first year student. Teringat balik memori lama. Pelajar tahun satu yang masih naif dengan kehidupan sebagai pelajar universiti. Muka pun masih comel-comel lagi.Belum ada tanda-tanda stress lagi hahaha...

Nanti dah masuk tahun dua, tiga, muka masing-masing pun berubah. Menjadi sangat tua sebab banyak sangat berfikir hahaha...tipu je..muka saya masih comel apa walaupun masih stress haha (tipu jugak :p).

Oh lagi nak taip apa nih, ala..makcik cleaner nih datang mop lantai la pulak...ke dia nak baca apa yang saya taip nih hahaha..tak pasal-pasal memfitnah makcik cleaner. Kurang ajar betul..haha..

Oklah tu..cukuplah sampai disini saja. Lain kali saya update lagi yek..hehe..tata titi tutu

p/s : saya dah baca semua komen..thanks yek semua...
p/s : oh..dan bila saya kata nak kurangkan blogging sebab nak tumpukan perhatian pada pelajaran bukan bermakna saya nak terus berhenti. jangan salah faham disitu..keyword dia adalah KURANGKAN..hahaa
p/s : terpaksa taip perlahan-lahan sebab keyboard ni bunyik kuat :P
p/s : berapa banyak p/s la...dah berenti..berenti..
p/s : susah nak berenti menulis bila ia dah jadi sebahagian dari diri kita
p/s : ok berenti sekarang!!
p/s : dah..byeeee...hahaa


Dapatkan alamat E-mel baru anda!
Rebut nama E-mel yang telah lama anda kehendaki sebelum orang lain mendapatkannya!

Friday, July 3, 2009

Jangan diucap selamat tinggal..

Esok dah nak balik kampus. Tak tahu la nasib blog ni hehe..Dulu saya tinggal kat hostel, ada wifi free boleh la bertenet 24 jam. Tapi semester ni saya terpaksa tinggal kat rumah sewa. Jadi dah takde talian internet lagi (sapa nak sedekah kan broadband?? hahahaa)

Jadi nasib blog ni belum diketahui lagi. Menulis tetap menulis tapi boleh publish ke tak belum tahu lagi. Tapi saya akan cuba untuk update jugak. Sebab saya sayang blog ni. Taknak la tinggalkan dia sepi tanpa kasih sayang hahaa...

Tapi sebab kesukaran untuk online, saya mungkin dah tak dapat nak lawat dan tinggalkan komen di blog kawan-kawan seperti selalu. Dah tak boleh nak jawab tag lagi. Jadi kalau lepas ni rasa macam dah taknak komen dan lawat blog saya lagi pun takpe. Sikit pun saya tak kecik hati sebab saya sendiri pun dah tak mampu lagi nak lawat dan komen blog kamu.

Lagipun tahun ni saya nak kurangkan aktiviti blogging. Mahu tumpukan lebih perhatian pada pelajaran (aminn ..) Tapi menulis tu saya tak boleh la tinggalkan. It's my passion. Dan saya takkan privatekan blog ni. Kalau ada yang masih mahu baca apa yang saya repekkan, you are most welcome. Tapi kalau mengharapkan kunjungan balas seperti selalu, maaf saya dah tak mampu. Harap kamu semua mengerti :)

Apapun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua teman-teman blogger yang selalu singgah, bagi komen, say hii dan jadik follower. Mahupun sesiapa saja yang pernah mendarat kat sini dengan sengaja atau tanpa sengaja. Kamu selalu bagi saya semangat untuk menulis. Saya sangat-sangat menghargai kehadiran kamu dalam kehidupan saya, walaupun kita tak pernah pun bersua muka.Saya nak mintak maaf kalau saya ada kecikkan hati sesiapa. Kalau ada yang terasa dengan tulisan atau komen saya, saya mintak maaf banyak-banyak yek. Kalau ada peluang atau cuti semester, saya akan tetap lawat blog kamu.

Eh..dah macam ucapan perpisahan la pulak hehe..Dah jangan diucap selamat tinggal sebab saya akan sentiasa ada di blog ni..selagi di izinkan Tuhan. InsyaAllah.. :)

Thursday, July 2, 2009

Kisah sebuah mesin jahit


Ingat tak entry hari tu, yang pasal transformers tu. Saya ada tulis kan kalau saya boleh transform, saya akan pilih untuk jadi mesin jahit. Khas untuk emak. Nak tahu kenapa?

Mak saya bukan seorang tukang jahit. Tapi mak saya pandai menjahit. Sejak dari muda lagi mak saya dah menjahit. Sejak dari kecik lagi, semua baju kurung kami adik beradik mak yang jahitkan. Malah baju sekolah pun mak yang jahit jugak. Maklumlah, kami bukan orang senang nak upah orang. Adik beradik pulak ramai. Jadi nak jimat kos mak jahitlah sendiri.

Sampai sekarang pun mak masih lagi jahit sendiri baju kurung kami adik beradik. Kesian tengok emak, penat menjahit. Tapi kalau nak upah orang emak mesti tak bagi. Emak memang suka berjimat :)

Dan baru-baru ni pulak, saya memang ada beli kain untuk buat baju kurung. Cadangnya untuk pakai pergi kuliah nanti. Tapi entah macam mana mesin jahit pulak rosak. Dan baju saya masih belum siap dijahit walau sehelai pun lagi. Sebenarnya saya tak kisah pun, baju lama semua masih elok lagi. Lagipun saya tak nak menyusahkan emak.

Tapi emak dan abah sanggup pergi hantar mesin jahit tu untuk dibaiki. Ya lah, sebab nanti pun nak guna jugak sebab nak jahit baju raya kan. Itu tak kisahlah, tapi yang buat saya terharu rupa-rupanya abah dah mintak orang yang baiki mesin tu siapkan cepat-cepat semata-mata kerana saya. Abah bagitau orang tu, kesian anak saya nak pergi kuliah, baju belum siap ..ishk ishk ishk..abah..abah..terharu ada, kelakar pun ada. Saya tak kisahlah abah. Baju baru ke lama ke tak penting bagi saya. Dan sebab mesin jahit dah ok, mak bertungkus lumus jugak nak siapkan baju saya. Ishk ishk ishk...terharu ganda dua saya dibuatnya. Saya tahu mak dan abah sentiasa nak gembirakan hati anak dia..

Ini mungkin cerita biasa aja, tapi saya nak coretkan disini supaya suatu hari nanti, kalau saya terfikir mahu melawan cakap mak abah, atau derhaka pada mereka, saya boleh ingatkan balik pada diri saya betapa mereka inilah yang sanggup berkorban apa saja untuk saya. Dari sekecil-kecil benda, sampai ke sebesar-besar perkara yang berkaitan saya, mereka tak pernah pun mengabaikannya. Walau pun benda tu nampak macam remeh je bagi orang lain, tapi mereka tak fikir macam tu. Mereka sanggup buat apa saja untuk anak-anak. Walaupun tak mungkin untuk saya membalas semua pengorbanan mereka, saya harap saya tak akan jadi anak yang tak kenang budi. Terima kasih mak, terima kasih abah :)




p/s : mesin jahit dah ok, saya tak perlu nak jadi mesin jahit lagi..ok kali ni kalau boleh transform saya akan pilih untuk jadi mesin basuh automatik pulak hahahaa... :p

Wednesday, July 1, 2009

Kalau..

Kalau kita tersedar yang kita tersilap membuat pilihan, patutkah kita berpatah balik dan mulakan sekali lagi?

Atau teruskan saja dan buat yang sehabis baik yang mungkin?

Persoalannya, apa yang terbaik buat kita? Adakah apa yang kita suka? Atau apa yang kita dapat?

Tersepit dalam kemahuan dan realiti kehidupan.

Perlukah berhenti di pertengahan jalan dan bertukar arah seperti mahumu?

Atau pasrah dan menerima takdir yang sudah terukir?

Keliru lagi...


Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah:216)



Hidup harus kekal optimis. Buatlah sehabis baik walau dititik mana kau berada. Masa lalu tak mungkin dapat dibuang. Kekal menjadi sejarah. Masa depan adalah sesuatu yang masih kabur dipandangan. Tapi masa sekarang, adalah masa yang kau harus usahakan agar tidak menjadi penyesalan...Berusahalah!!


....................................................................................................................................................................


Kadang-kadang saya selalu keliru. Sama ada jalan yang sedang saya lalui pada masa ini adalah yang terbaik. Selalu wujud rasa keterpaksaan untuk meneruskannya. Hati dan jiwa saya memberontak. Kalau boleh saya mahu pusingkan waktu kebelakang dan betulkan semula mengikut seperti apa yang saya mahu.

Tapi akal saya selalu membalas. Tak mahu kalah pada hati dan perasaan. Sedangkan dulu jalan ini yang saya pilih, kenapa harus ada rasa menyesal. Mungkin sebab kesukaran dan ujian demi ujian yang saya terima, menyebabkan semangat saya yang dulu terhakis. Jiwa saya jadi rapuh dan saya mula tunduk pada emosi. Tapi Tuhan tidak membiarkan saya sendiri. Diam-diam dihantar semula keyakinan pada hati saya. Dan saya mula tersedar, bahawa apa yang telah berlaku tak mungkin dapat diubah kembali. Dan apa yang Tuhan telah takdirkan untuk saya, walau perit macam mana sekalipun, itulah sebenarnya yang terbaik buat saya. Dan Alhamdulillah, hari ini saya masih berdiri di jalan yang sama..walau tidak mampu berlari, saya akan tetap cuba merangkak..sehingga sampai ke penghujungnya.