Sekarang saya mengerti bagaimana rasanya bila kita kehilangan cinta yang kita harapkan. Melihat orang yang pernah kita simpan perasaan diam-diam, akhirnya bahagia dengan orang lain...ya..rasanya sangat sakit. Seperti kaca yang terhempas ke tanah, pecah berderai-derai. Macam tulah juga hancurnya perasaan saya ini. Tipu kalau saya masih boleh tersenyum bahagia, tipu kalau saya tidak mengalirkan airmata.
Mengenangkannya saja sudah terasa pahit, apatah lagi untuk mencoretkannya disini. Membuka rahsia hati saya untuk dibaca oleh kamu dan kamu. Kalau boleh saya mahu padamkan saja semua memori ini. Bakar semua kenangan silam, hanyutkan semua cerita semalam. Tapi saya gagahkan jua untuk menulis, bukan sebagai pengakhiran kepada cerita cinta ini, tetapi sebagai satu permulaan kepada sebuah episod baru. Lebih penting lagi, biarlah saya belajar dari kisah semalam.
Saya dan dia. Entah bagaimana tumbuhnya perasaan saya pada dia, saya sendiri tidak menyedari. Saya tidak pernah meminta, malah tidak pernah saya memaksa-maksa hati saya untuk menyukai dia. Seperti angin ia datang, tidak nampak di mata, tetapi membuai-buai hati saya. Aneh, saya dan dia, bukan selalu berjumpa, amat jarang bertegur sapa..tapi setiap kali melihat dia tersenyum, terasa seperti seluruh dunia turut tersenyum pada saya.
Tapi tidak pernah saya luahkan rasa hati ini pada sesiapa. Malahan, pada diri sendiri juga saya cuba menafikan rasa yang ada ini. Ternyata, semakin saya cuba melupakan, semakin kuat rasa itu datang. Rasa yang menakutkan pada saya. Kerana sedari mula saya sudah menjangka pengakhirannya. Ah..ternyata benar bukan. Pada akhirnya saya sendiri yang akan kecewa. Antara saya dan dia, jaraknya seperti langit dan bumi. Dan insan pilihan dia..apa lagi yang boleh saya katakan..memang ternyata satu pilihan yang tepat. Seorang gadis solehah yang memang pantas dijadikan calon isteri.
Tetapi saya tidak pernah menyesal dengan rasa yang pernah tumbuh ini. Walau akhirnya rasa ini jugalah yang merobek-robek jantung saya. Saya anggap kisah ini sebagai pengajaran dari Tuhan kepada saya. Kerana pernah dulu, sewaktu saya diuji dengan dugaan yang mencabar, diam-diam saya menyebut pada Tuhan. Ya Allah, beruntungnya mereka yang diuji dengan hanya masalah cinta. Kerana pada saya, ia hanya melibatkan soal rasa, soal hati, soal perasaan. Bukan soal-soal lain yang lebih berat..bukan soal hidup dan mati!
Betul kata orang, kita takkan pernah tahu selagi kita tidak mengalaminya sendiri. Nah...terimalah ini, rasalah sendiri bila hatimu diuji. Ternyata, soal hati dan perasaan bukanlah soal yang ringan. Patutlah ramai yang sanggup menamatkan hidup sendiri kerana kecewa dengan cinta. Saya sendiri juga tidak pernah menyangka bahawa saya akan mengalirkan airmata hanya kerana rasa cinta. Tapi benar ia terjadi. Dan benar juga, ia satu pengajaran yang mahal buat saya!
Tapi adakah saya menyesal kerana jatuh cinta pada dia? Tidak. Tidak pernah saya sesali perasaan ini. Sepertimana saya tidak pernah meminta ia hadir dalam hidup saya...sepertimana saya membiarkan dengan rela ia mendiami hati saya..seperti itu jugalah saya tanpa paksa membiarkan ia terbang pergi dari jiwa saya. Patahkan tumbuh, hilangkan berganti. Andai didunia ia tiada, semoga disyurga ia menanti. Itu doa saya pada Tuhan. Kerana saya percaya dan yakin, bahawa Allah sudah punya perancangan yang lebih baik buat saya.
Dia..dalam hidup saya, kini hanyalah secebis kenangan. Tentang kisah cinta yang tak kesampaian. Tapi harus juga saya ucapkan terima kasih padanya, kerana tanpa dia, barangkali saya takkan pernah tahu apa itu erti cinta! Dan sekarang saya sudah mengerti. Dan takkan sekali-kali lagi saya memandang remeh pada sebuah perasaan ini. Ternyata diuji cinta juga amat perit kesakitannya.
Kepada awak, terima kasih atas rasa ini. Rasa yang awak sendiri tidak pernah tahu akan wujudnya. Bukan salah sesiapa bila awak hadir dalam hidup saya, malah bukan salah sesiapa bila rasa ini tiba-tiba tumbuh dalam hati saya. Bukan juga salah awak kerana terlalu baik hingga buat saya jatuh cinta. Malah bukan salah awak juga kerana tidak memilih saya. Kerana antara kita ternyata jodohnya hanya sekadar kawan. Walau terasa peritnya, tapi saya terima ini sebagai ujian dari Tuhan. Ujian bagi sekeping hati yang ternyata tak seteguh karang.
Biarlah cerita ini tamat disini sahaja. Tapi pengajarannya biarlah diingat sampai bila-bila. Bahawa kita takkan pernah mampu melangkaui takdir yang telah tersurat. Bahawa dalam hidup ini kita takkan pernah mendapatkan semua yang kita mahu. Tapi percayalah, Tuhan sentiasa memberi apa yang kita perlu. Rasa cinta adalah fitrah, lewat atau cepat, ia pasti hadir. Tapi sepertimana ia datang tanpa diundang, perginya jua janganlah dihalang. Kerana hakikatnya cinta pada manusia tidak pernah ada yang abadi. Serahkanlah rasa cinta pada pemilik sebenar cinta, andai satu hari nanti engkau terjatuh, DIA pasti akan menyambutmu..
Salam...cinta yang tak kesampaian..
~tamat~
(mungkinkah nanti akan ada episod yang kedua, atau seterusnya? ...adakah ada yang akan jatuh lagi? wallahualam..)